‘Heret ke muka pengadilan, kenakan hukuman berat’

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengheret pelaku ke muka pengadilan dan mengenakan hukuman berat terhadap pihak yang sewenang-wenang menyentuh sensitiviti agama Islam di negara ini.

Pengerusi Dewan Perdagangan dan Perindustrian Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI) Nasional, Muhamad Amin Fahmi, berkata kerajaan sekali gus digesa tidak bersikap memilih dalam mengambil tindakan terhadap syarikat atau individu berhubung perkara berkenaan.

“Kerajaan mungkin boleh mempertimbang untuk melucutkan kewarganegaraan pihak terbabit. Ini bagi membuktikan kerajaan tidak sesekali berkompromi dengan petualang negara yang sengaja mencetus bibit keresahan dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam konteks agama Islam.

“Isu agama membabitkan keharmonian sesebuah negara. Adakah kita hanya boleh terima jika si pelaku semudahnya meminta maaf, sedangkan mereka dilihat langsung tidak sensitif kepada perkara utama membabitkan agama?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhamad Amin menekankan dua isu yang dilihat mencabar kesabaran masyarakat Islam di Malaysia, baru-baru ini, membabitkan produk disyaki dari Israel lolos ke dalam pasaran Malaysia dan penjualan stoking tertera kalimah agung, baru-baru ini.

Beliau menegaskan, MIICCI mengutuk tindakan keji oleh mana-mana syarikat mahupun individu yang sengaja ingin mencetus keresahan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Sebagai sebuah dewan perdagangan antarabangsa yang terdiri daripada pedagang beragama Islam, kami mengeji tindakan terkutuk syarikat mahupun individu yang sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam.

“Pihak tidak bertanggungjawab ini seolah-olah berani menduga tahap kesabaran masyarakat Islam. Mereka langsung tidak cakna dan dilihat tidak hormat Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, MIICCI menggesa agar komuniti hidup dalam kerukunan dan menjadikan sifat saling menghormati sebagai asas dalam bermasyarakat.

“Hayati setiap bait Rukun Negara. Jangan biadab sehingga membawa kepada suasana tidak harmoni. Masyarakat Islam dari segenap lapisan persatuan serta tidak kira latar belakang politik, digesa terus berpadu dan bangkit menentang segala bentuk dakyah yang cuba untuk menjatuh serta menghina agama Islam,” katanya.

Sumber: